Pembuangan bayi semakin menjadi-jadi.
Kes-kes melibatkan pembuangan bayi telah mendominasi dada-dada akhbar dewasa ini. Hari ke hari, ada saja kes baru. Ianya telah menjadi seakan-akan sebuah aktiviti biasa di kalangan rakyat Malaysia.
Jika dulu masyarakat tergempar dengan kes pembuangan bayi, kini tidak lagi.
Mereka menganggap ia perkara biasa kerana telah dihidangkan dengan berita tersebut saban hari.
Perkara inilah yang paling dikhuatiri apabila manusia sudah mula hilang timbang rasa dan kemanusian.
Lantas, tindakan dan langkah penting harus dilakukan bagi mengelakkan perkara ini dari terus berleluasa dan semakin menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat kita. Terdahulu, media melaporkan bahawa terdapat 17,303 orang anak luar nikah di daftarkan pada tahun 2009.
Daripada kes buang bayi dalam plastik, dalam botol, sehinggalah ada yang dibakar di tempat pembuangan sampah semuanya semakin merisaukan.
Apa lagi yang harus dilakukan oleh kerajaan untuk membendung gejala ini?
Adakah hukuman maksimum 2 tahun penjara yang dipraktikkan sekarang masih tidak cukup untuk mengelakkan masalah ini dari terus berlaku?
Ketika ini, bagi kebanyakan kes buang bayi, pesalah hanya disabitkan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang boleh membawa hukuman 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Atau adakah hukuman-hukuman yang lebih berat seperti gantung sampai mati wajar diwujudkan supaya mereka ini lebih takut untuk melakukan kesalahan?
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ َ
Hadis ini menyebutkan bahawa seorang bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih akidahnya).
Maka kedua ibubapanya yang akan menjadikannya (kerana asuhan dan didikan) yahudi atau nasrani atau majusi.
Ini menunjukkan bahawa bayi adalah anugerah dari Allah yang harus disyukuri. Perbuatan membuang bayi bukan sahaja merosakkan sesuatu kaum, tetapi melibatkan pembunuhan seorang insan yang tak berdosa.
Oleh itu, saya bersetuju bahawa hukuman berat wajar dikenakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
Jika hukuman mati mandatori dikenakan kepada pembunuh, mengapa hukuman seperti ini tidak diaplikasi kepada pesalah pembuang bayi.
Ini kerana, perbuatan ini juga salah satu daripada bentuk pembunuhan. Malah, mereka yang tidak bertanggungjawab ini lebih kejam daripada pembunuh.
Apakah salah bayi-bayi yang baru dilahirkan ini? Mereka tidak berdosa, mereka berhak hidup dibelai dan dimanja sepeti kanak-kanak yang lain.
Jika hukuman mati mandatori ini diperlaksanakan, pelaku zina mungkin akan menjadi lebih takut untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Islam mengharamkan zina dengan dalil yang jelas di dalam al Quran, Surah al Isra, ayat 32 :
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
Umum diketahui masalah, pembuangan bayi bermula daripada zina, oleh itu, penekanan hukuman berat terhadap pelaku zina juga dapat membantu menangani gejala tak bermoral ini.
Umpama menghalang nasi sebelum menjadi bubur, hukuman kepada pelaku zina ini dapat mengatasi masalah pembuangan bayi .
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan hari ini dilihat sebagai punca utama meningkatnya kes pembuangan bayi.
Jadi masalah ini harus dibendung dari akar masalah supaya ianya tidak berlanjutan.
Hukuman bagi pesalah zina ini harus diselesaikan dengan cara Islam dan bukannya cara sekular.
Islam menggariskan bahawa hukuman bagi penzina terbahagi kepada dua jenis, iaitu samada sudah berkahwin, atau belum berkahwin. Orang yang berkahwin dikenakan hukuman rejam sehingga mati, manakala orang yang belum berkahwin dikenakan sebat sebanyak 100 kali, dan dibuang negeri.
Namun apabila kes zina tidak diselesaikan dengan cara Islam, inilah yang membuat pesalah zina tersebut lebih berani serta menyebabkan kes pembuangan bayi makin meruncing. Pemerintah dan kerajaanlah yang bertanggungjawab dalam melaksanakan hukuman ini sebetulnya. Kegagalan melakukannya boleh dianggap sebagai jenayah bagi pihak kerajaan itu sendiri.
Selaras dengan itu, kerajaan harus memperbanyakkan lagi kempen seperti “Kami Prihatin” yang telah dilakukan bagi menyematkan rasa tanggungjawab terhadap remaja kita.
Kita sebagai seorang Islam seharusnya sedar tentang dosa membuang dan menamatkan nyawa seorang insan. Jika seberat mana pun hukuman dijalankan di dunia ini, berat lagi hukuman yang akan diterima di akhirat kelak. Jadi hukuman di akhirat dan seksa neraka itu sendiri sepatutnya sudah cukup untuk mengelakkan kita dari terjebak dengan masalah ini. Tetapi sayangnya ada antara kita yang tidak mengamalkan cara hidup Islam yang betul, lantas tidak hairan hukuman di akhirat tersebut tidak menginsafkannya. Berilah peluang bayi tersebut menjalani kehidupan seperti bayi-bayi lain.
SEHIJAU WARNA DAUN
14 years ago